Monday, January 5, 2009

Belia 4B Serah Memorandum Bantah Pencerobohan Israel

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Gerakan Belia 4B Wilayah Persekutuan dan Selangor, Isnin bagi menyerahkan memorandum bantahan pencerobohan Israel ke atas wilayah Gaza, kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini.

Memorandum berkenaan diserahkan oleh Pengerusi Gerakan Belia 4B Wilayah Persekutuan Mohd Azhari Naharuddin kepada wakil kedutaan AS di luar kedutaan tersebut pada pukul 2.50 petang.

Sebelum itu Mohd Azhari bersama-sama dengan hampir 50 anggota pergerakan belia berarak dari Bangunan Tabung Haji menuju ke kedutaan tersebut yang terletak di Jalan Tun Razak, bagaimanapun polis menghalang kumpulan tersebut daripada menghampiri bangunan kedutaan itu.

Bagaimanapun, Mohd Azhari bersama-sama dengan dua wakil pergerakan belia tersebut dibenarkan menyerahkan memorandum berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt. Abdul Rahim Hamzah berkata perhimpunan tanpa permit itu bersurai tepat pukul 3 petang.

"Kita dapat mengawal keadaan dengan kekuatan 45 anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras. Tiada tangkapan dilakukan," katanya ketika ditemui di situ.

Sementara itu Presiden Gerakan Belia 4B (Belia 4B) Datuk Seri Mohd Ali Rustam menggesa Israel memberhentikan serangan yang mengorbankan rakyat Palestin yang tidak berdosa, sambil menambah keganasan berterusan menunjukkan bahawa Israel tidak menghormati hak dan kedaulatan Palestin.

"Kita merayu Amerika Syarikat dan Israel untuk mengisytiharkan Hamas sebagai kerajaan memerintah di Palestin dan menghormati kedaulatan Palestin dengan merobohkan dinding batu yang mengelilingi Gaza dan membenarkan bantuan antarabangsa dan luar terutamanya daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Palestin.

"Kita harap bahawa Kedutaan AS akan menyerahkan bantahan ini yang mewakili pemuda Malaysia kepada Presiden George W.Bush, untuk campur tangan dan memberhentikan serangan Israel terhadap Palestin," kata beliau.

Sumber dari BERNAMA : http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/news_lite.php?id=381662

No comments: